Hukum aqiqah adalah sunat bagi yang berkemampuan. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya ‘Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :
مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى
Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.
Riwayat al-Bukhari (2839)
Aqiqah juga sunat dilakukan pada hari ketujuh ke7 kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA :
الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ
Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.
Riwayat Abu Daud (1522)
Mengenai bilangan kambing yang perlu di aqiqah kan, bagi bayi lelaki, maka disunatkandengan menyembelih 2 ekor kambing manakala bagi bayi perempuan pula adalah dengan menyembelih 1 ekor kambing. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebut :
مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.
Riwayat Abu Daud (2842)
Asal bagi aqiqah untuk anak lelaki adalah 2 ekor kambing manakala bagi anak perempuan pula adalah seekor kambing. Ini adalah tertib yang terbaik bagi seseorang jika ingin melakukan ibadah aqiqah.
Pendapat di dalam mazhab al-Syafi’e sepertimana dinukilankan oleh al-Imam al-Syirazi di dalam kitabnya al-Muhazzab dan begitu juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’.
Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَقَّ عَنِ الْحَسَنِ وَالْحُسَيْنِ كَبْشًا كَبْشًا
Maksudnya: “Rasulullah SAW mengakikahkan al-Hasan dan al-Husain seekor kibasy yang serupa dan sepadan bagi setiap seorang”.
Riwayat Abu Daud (2841)
Kesimpulan
Berdasarkan petunjuk hadith seperti yang dibincangkan sebelum ini, maka kami nyatakan di sini bahawa melakukan aqiqah bagi anak lelaki dengan seekor kambing adalah memadai dan lakukanlah ibadah aqiqah ini dengan penuh keikhlasan dengan menzahirkan rasa syukur di atas kurniaan Allah SWT kerana menghadirkan zuriat buat keluarga kita dan pastinya juga Rasulullah SAW akan berbangga di akhirat kelak dek kerana ramainya umat Baginda SAW.
Wallahu a’lam.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan & Ustaz Mohammad Yaakub Yusra